Aldy Shah On

Erti persahabatan tak pernah lupus dalam jiwaku, meskipun nilai - nilainya makin pudar pudar dibawa arus masa kini.Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri…tetapi dalam kita bersendiri, harus bersyukur kerana kita mempunyai seorang sahabat yang memahami kita.Kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat,tapi kita hanya mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita, dan seringkali lupa bahawa sahabat kita itu juga mengharapkan perkara yang sama. 
Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Tapi kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya yang sebenar. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri. Tapi kita terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti, tercari- cari...kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan, Seolah- olah 'memaksa’ dia menerima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita tentang perasaannya? Apa yang dia rasa, dia juga tahu rasa kecewa…tetapi kita sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu kita memerlukan dia. 
Kita meluahkan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita, apa yang dia lakukan pula ialah dia memberi pandangan dan membantu kita mencari  penyelesaian. Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita. Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa gembiranya,bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia tatkala dia kegusaran? sebagaimana dia pernah menyabarkan kita, membuat kita tenang? 
Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dia dan berita gembira dari dia? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat kepada kita ketika kita merasa kecewa dan menyerah kalah? Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, dapatkah kita dijadikan tempat untuk untuk dia bersandar bila terasa lemah, agar dia tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan?
Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat kita, kerana dia juga seorang manusia, dia juga ada rasa takut, ada rasa...bimbang, sedih dan kecewa, juga gembira kadang kala. Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Di sebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan, di sebalik ketenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan…kita tidak tahu…tetapi jika kita cuba jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu. 
Jika anda bersahabat, bersiaplah untuk berkorban demi sahabat anda. Jika anda bermusuhan dengan sahabat anda, bersiaplah untuk mengalah demi persahabatan kalian. Rasa hormat tidak selalu akan membawa kepada persahabatan, tetapi persahabatan tidak akan ada dan kekal tanpa rasa hormat antara satu sama lain. Kerana dengan ikatan persahabatan itu lebih berharga daripada cinta. Ia kekal bermakna selamanya.
Coretan Ikhlas Buat Teman- Teman Ku Sekalian.